Zikir bermaksud ingat, maka zikruLlah adalah hal kebulatan hati hamba mengingat kepada Allah. Tumpuan aqal dan hati kepada Allah berlangsung dalam semua gerak laku kehidupan. Maknanya, tumpuannya terhala/tertumpu hanya kepada Allah, itulah zikir, senentiasa ingat walaupun tanpa sebutan suara dan huruf.
Senentiasa berzikir kepada Allah sememangnya sangat dituntut. Bagi hamba yang mencari redho Allah dalam setiap detik kehidupannya, pastinya menyahut seruan berzikir, sebagaimana FirmanNya :
فاذكرونى اذكركم واشكرولى ولاتكفرون
Maka ingatlah kepadaKu pasti Aku mengingatimu (merahmatimu), bersyukurlah kamu kepadaKu dan jangan sekali-kali kamu kufur.
Adapun beberapa keadaan zikir :
Zikir Qauli
Zikir Qolbi
Zikir Fi’li
Zikir Qauli adalah zikir pada lidah. Zikir ini disebut juga zikir jahar ( bersuara ). Lafaz zikir perlu diambil dari mereka yang ahli (memiliki sanad & silsilah ). Kaedah zikir ini diperlukan sebelum berpindah kepada zikir qolbi. Amalan dengan disiplin tertentu zikir qauli membantu mempercepatkan perpindahan atau peningkatan kepada zikir qalbi.
Zikir pada qolbi adalah hal hati yang senentiasa ingat kepadaNya bermula dengan menyebut-nyebut asma’Nya dalam hati. Hal ini mudah diperolehi melalui proses pendidikan rohani. Hati yang telah mula hidup dengan zikir akan mersasai kelazatan, keseronokan dan ke'asyikan berzikir. Keni'matan ini adalah anugerah Allah bukan kerana zikir itu. Tetapi hendak mencapai kelazatannya mesti melalui proses mujahadah zikir di bawah bimbingan Mursyid Murabbi.
Proses pendidikan oleh Mursyid Murabbi dengan melalui disiplin tertentu akan menatijahkan perpindahan hal zikir dari sekadar menyebut asma’Nya pada hati kepada senentiasa ingat. Bermula dengan ditalkin zikir, istighfar, salawat dan ratib oleh Mursyid Murabbi. Ingatan hatinya diasuh, dididik dan dijalankan lagi sehingga mantap, kemudiannya mencapai tahap ingatan mendalam tanpa perlu sebutan, bunyi dan huruf. Senentiasa hatinya berhadap dengan Allah swt. Ingatan inilah hal zikir yang sangat diidamkan oleh para salik yang ingin mendekati maqomat auliya’, solihin, dan muqorrobin.
Asuhan hati bermula dari awam kepada murid, murid yang salik kemudiannya mencapai maqomat khawwas dan khawwasul khawwas. Dari hati yang senentiasa berzikir, sebati kepada seluruh tubuh badan. Sehingga mencapai sesaat berzikir mereka yang khawwas itu menyamai atau melebihi bertahun amalan sunat, bahkan amalan wajib orang awam.
Marilah kembali kepada Ruh amalan. Setiap amalan itu ada ruhnya. Syari'at ruhnya hati yang khusyu'. Hal ruh inilah yang menjadi bekalan kita. Jangan dibiarkan diri terus terleka dan terpedaya. Marilah kembali beramal bertunjangkan TauhidTasawwuf. Semoga lahir masyarakat yang bertaqwa kepada Allah swt seperti golongan para sahabat rhm, auliya' & solihin muqarrobin.
Zikir Fi’li adalah segala perlakuan menepati perintah Allah seperti bersuci, ibadah solah, puasa, umrah dan haji. Dari menurut sahaja titah perintah Allah dan menjauhi laranganNya melibatkan anggota sehinggalah mencapai tahap meletakkan tadbiran diri dalam tadbir Tuhan yang menentukan segala-galanya. Keleburan diri dari segala kelakuan dan keakuan kepada hanya segalanya terbit dari Allah. Inilah zikir fi’li yang sepatutnya diperolehi oleh sekalian hamba yang siddiq. Wallahu a’lam.
Sebagaimana yang disebut oleh Ibn Athoillah dalam kalam Hikamnya :
أرح نفسك من التدبير
Imam Ghazali At-Tusi ra menyatakan tanda taqwa seseorang hamba itu adalah pada terbit dan suburnya sifat Khauf dan Roja’ dalam dirinya kepada Allah.
Khauf merujuk kepada keadaan hamba yang senentiasa rasa berdosa kepada Allah. Menatijahkan keadaan jiwa yang senentiasa wara’. Wara’ yang tiada dipaksa-paksa. Tanda kecintaan hamba pada Tuhannya. Basah lidahnya dengan istighfar, lunak jiwanya memohon ampun dalam apa jua keadaan.
Roja’ pula meruapnya harapnya kepada Tuhan agar dirinya yang hina berdosa diterima. Pengharapannya yang mendalam tanda kebergantungan hamba yang lemah tiada upaya kepada Tuhan yang menguasai dan menentukan segala-galanya.
Sebati kedua-dua sifat dalam dirinya tanda ketaqwaan. Perasaan ini subur dengan melalui pendidikan/pentarbiyahan yang sistematik dari Murabbi sebagaimana yang telah dilalui oleh Imam Ghazali ra. Hanya Murabbi yang Haq berupaya mengasuh jiwa kita mencapai khauf dan roja’.
Kesimpulannya, jiwa ketaqwaan hanya dapat dicapai dengan baik, selamat dan menepati sebagaimana yang sepatutnya melalui asuhan dan tarbiyyah. Bukan sekadar mengambil pengetahuan melalui mendengar atau membaca perbahasan tentangnya. Pengetahuan dan proses tarbiyyah adalah berbeza. Para Sahabat rh diasuh oleh Rasulullah saw. Maka kita juga harus melalui proses pendidikan ini.
Ketaqwaan bukan hanya riwayat atau cerita-cerita sahaja. Setiap kita seharusnya sedar akan hakikat betapa mahalnya ketaqwaan itu. Mereka yang muttaqin mencapainya melalui proses pendidikan bukan sekadar pengajaran ilmu. Ingatlah bahawa ketaqwaan itu wajib sebagai mana firmanNya
ياأيهاالذين أمنوا إتقوا الله وابتغوا إليه الوصيلة
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu sekalian kepada Allah dengan menuruti jalan ( yang ditentukannya ).
Mengambil faham zahir atau umum (awam) kita hanya memahami bahawa dengan beramal dengan maklumat (ilmu pada faham kita) akan dapat mencapai maqam ketaqwaan. Semacam tiada berkaitan antara ilmu dengan amal tarbiyyah. Sedangkan para sahabar rh, para tabiin ra, para ulama’ dan auliya ra, mereka semuanya melalui proses pentarbiyyahan dari dada Mursyid.
Sewajarnya kita halus merenungi hal ini dalam usaha kita mencapai maqomat taqwa di sisi Allah. Marilah memahami perkara yang semakin terkikis dari tumpuan kefahaman kita hari ini. Berusahalah dari awam kepada khawwas dengan mencari ilmu dan pendidikan yang sebenaarnya. Cari guru atau wakilnya yang memiliki ciri-ciri ketaqwaan yang akan dibicarakan kemudian, InsyaAllah. Wallahu a’lam.
CatatanAbiAzman
Selasa, 29 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan