Selasa, 29 September 2009

Kemiskinan atau kekayaan?

RasuluLlah mengajari kita doa yang ma'thur :

اللهم انى اعوذبك من الكفر والفكر
YaAllah hindarilah kami daripada kekufuran dan kefakiran..

Membicarakan tentang kefakiran dan kemiskinan, ramai beranggapan bahawa tiada harta, tiada kemewahan itulah fakir. Sedangkan maksud sebenar kefakiran yang boleh membawa kepada kekufuran adalah kemiskinan jiwa. Tiada pautan Tauhid. Hati yang bergantung selain Allah dan berbimbang dengan urusan dunia.
Miskin pada pandangan Islam pasti bertentangan dengan pandangan Barat. Islam tidak membawa penilitian pada harta sahaja dinisbah dengan miskin, Islam menolak fahaman kebendaan. Sedangkan fahaman masyarakat kita hari ini sangat terikat dengan pandangan tiada harta itu susah dan miskin. Ekoran dari itu, masyarakat kita bimbang jika anak-anak tidak memiliki sijil yang dikatakan akan menjamin kehidupan dengan pekerjaan yang bagus.
Secara halusnya berlaku kekufuran dan kesyirikan yang sangat halus di apabila tiada kebulatan hati keyakinan yang putus bahawa Allah yang menjamin rezeki dan masa depan kita dan anak-anak. Ibu bapa sanggup berhabisan dan bersusahpayah memastikan anak-anak beroleh pendidikan yang menjurus kepada pemilikan sijil. Sanggup berhabis untuk peruntukan tuisyen anak, tapi berkira dalam hal infa'. Alangkah malangnya mereka yang terpedaya dengan pemikiran kebendaan ini.
Islam tidak melarang kita berusaha menjana kekayaan zahir, tapi mampukah kita mengimbangi dengan menjana kekayaan batin? Ramai mana yang beroleh sakinah ( kebahagiaan ) lantaran kekayaan mereka? Harta yang ada menjadikan mereka merasa kepunyaan, jauh sekali merasa fakir dan papa di sisi Tuhan. Jika ada yang mendakwa, itu hanya kata manis di bibir mainan sangkaan aqalnya sahaja. Apabila datang ujian, mereka masih kedekut dan tidak berani menginfa'kan harta.
Kalau sebulan pendapatan mencecah RM5 ribu, sekadar infa' 100 atau 200 ringgit tidak memadai. Sekurang-kurangnya 10% pendapatan kita infa'kan pada jalan Allah. Lebih besar nilai infa' itu lebih memedihkan hati kita itulah yang terbaik mendidik hati.
Hulurkan infa' mujahadah anda membantu madrasah atau Tok-tok Guru yang ikhlas mendidik dan melahirkan generasi ulama' serta da'ei. Berkorban biar terasa kepahitannya pada hati yang diselaputi keinginan nafsu. Bagaimana kalau sudah bertahun kita meni'mati pendapatan puluhan ribu, atau jutaan ringgit sebulan? Berapa gerangan nilai ringgit yang mesti dileburkan untuk melebur nafsu keangkuhan dan kepunyaan dalam diri?
Marilah merenungi kehidupan para sahabat rh, mereka memilih kehidupan yang sangat sederhana. Lebih sederhana daripada kita hari ini. Mungkin boleh kita bayangkan kesusahan para sahabat rh. dan pencinta Allah dengan kisah keperitan orang tua-tua kita ketika zaman Jepun dulu. Bezanya kita terpaksa susah tapi hati memilih dan sangat berhajat kaya harta & kesenangan. Sedang mereka yang mulia di kalangan sahabat rh & auliya memang memilih kehidupan yang sukar kerana bimbang ujian keduniaan. Mereka miskin zahir tapi kaya hati kerana redha pada pilihan dan ketetapan Allah pada mereka. Kita hari ini, kaya tapi hati masih belum berputik redha maka masih tidak mencukupi harta yang ada. Menghimpun harta menimbun, rumah, kereta, barang kemas, pakaian, dan pelbagai lagi koleksi kegemaran nafsu.
Kayakan batinmu nescaya akan hadirlah kekayaan zahir. Kekayaan jiwa menjadikan insan itu zuhud dalam keadaan kaya, sederhana maupun miskin. Tiada yang menggundahkan jiwanya. Tenang bersama Tuhan. Baginya kekayaan apabila dapat merasai ni'matnya kasih sayang Tuhan dalam jiwanya yang bersih. Bersih daripada pautan dunia, kasih dunia, keinginan pada dunia. Wallahu a'lam.

CatatanOlehAbiAzman

0 comments:

Catat Ulasan