Selasa, 24 November 2009

BicaraTentangIlmu..I


BismiLlah walhamduliLlah, Allahumma Solli a'la Muhammad wa a'la alihi…

Satu Perkongsi tentang ilmu yang benar yang memberi kebaikan yang amat luas. Antara ciri atau tandanya adalah ilmu yang kita perolehi itu membawa kita menjadi insan yang berbeza dari sebelumnya. Dari manusia yang lalai kepada taat kepada Allah, menentang kezaliman dan menggugurkan kecintaan keduniaan dari hati kita.

Maka dengan sebab itu perlu kita berhati-hati dalam menuntut ilmu. Asal disebut ilmu kita sangka segala pengetahuan dan maklumat itu ilmu. Sedangkan maksud sebenar ilmu itu adalah limpahan 'nur' ke dalam batin ( hati ) yang mendorong terbentuknya peribadi yang berserah, takut, harap, gembira, cinta rindu, senentiasa ingat kepada Allah.

Nabi Muhammad saw mengingatkan kita tentang ilmu ini dengan maksud dari sabda baginda : Tiada berilmu jika tiada beradab.

Berilmu seseorang itu ditandai dengan penzahiran adab-adab. Semakin beradab bermakna semakin berilmu seseorang itu. Biarpun tiada sijil, tiada melalui proses pembelajaran yang tinggi. Ilmu diperolehi dari pentarbiyyahan atau didikan Guru yang Haq. Guru yang benar diberi izin oleh Allah untuk melimpahkan 'nur' ( ilmu yang benar ) ke dalam batin anak muridnya. Hujahnya, mereka adalah pewaris kenabiyan yang sebenar.

Bersedia menyerah diri untuk dididik dan menberima ilmu, bermakna telah dibuka batin untuk dimasuki 'nur'. Hati-hati jika kita berhadapan dengan guru yang tidak benar atau tidak layak jadi guru, kerana terbuka pintu batin bukan sahaja 'nur' boleh masuk, bahkan dzulumat ( syaitan ) juga boleh turut masuk. Guru yang benar memasukkan 'nur'. Guru yang tidak benar memasukkan dzulumat tanpa kita sedari.

Maka hari ini apa yang kita lihat, murid makin belajar makin subur nafsunya. Cinta dunia, kesombongan, rasa kehebatan pada diri, memandang hina orang lain subur dalam jiwanya. Mudah menghukum mereka yang bermaksiat dan pelbagai keburukan lagi yang berlaku tanpa disedari. Natijah ilmu, guru dan niat yang 'belum benar-benar' benar.

Teruslah berusaha mencari 'nur' ( ilmu yang benar ) dari guru yang benar. Nilaikan diri kita adakah semakin beradab ? semakin takut dan harap padaNya? Semakin membenci kezaliman manusia ? lunturkah kecintaan dunia dari batin kita? Leburkah kesombongan diri dengan berasa jahil dan bergantung harap kepadaNya? Wujudkah kecintaan kepadaNya, pada RasulNya, pada auliyaNya, pada ummah ini?

Atau kita berasa selamat dengan sedikit kebaikan yang kita lakukan, cukup sudah ilmu yang ada. Tiada kita sedar dan bimbang bahawa kita sebenarnya telah terpedaya. Halusnya kesombongan dalam hati kita. Dzahir kita akui kejahilan diri, tapi batin kita sukar menerima nasihat, seruan mujahadah membersihkan diri dengan beramal, payah menerima pandangan orang lain.

Sesiapa menghina kita dialah yang akan kita musuhi. Jika itu masih ada dan subur, beringatlah mungkin ilmu yang kita ada setakat ini bukan ilmu lagi. Sekadar pengetahuan dan maklumat sahaja.

Wallahu a'lam.

Catatan AbiAzman : Sebuah renungan dari pengalaman diri yang jahil

0 comments:

Catat Ulasan